Plagiarisme bukanlah satu isu yang baharu

Abstrak

Plagiarisme bukanlah satu isu yang baharu dalam kalangan pelajar universiti. Bagaimanapun pada era teknologi maklumat dan komunikasi khususnya internet, masalah ini didapati bertambah serius. Perbuatan plagiarisme ini telah memberi banyak impak yang besar terhadap pembelajaran pelajar universiti. Kertas kerja konseptual ini akan membincangkan tentang konsep plagiarisme melalui penggunaan internet serta faktor yang menyebabkan isu ini semakin berkembang. Di samping itu, kertas kerja ini juga akan menyentuh tentang kesan perbuatan ini terhadap pembelajaran pelajar. Kesimpulan kertas kerja ini akan menghasilkan satu kerangka konseptual antara ketiga-tiga aspek iaitu konsep, faktor dan kesan pembelajaran pelajar universiti.

Pengenalan

Plagiarisme merupakan satu masalah etika yang telah lama wujud sejak awal tahun 1600-an lagi (Hansen, 2003). Namun, pada zaman berteknologi khususnya internet, masalah plagiarisme telah berkembang dengan serius. Sebelum perkembangan internet, pelajar memplagiat dengan cara yang tradisional iaitu mencari maklumat melalui bahan bercetak yang berada dalam perpustakaan dan menyalinkannya ke dalam kertas dengan penggunaan pensil atau pen. Cara yang lain pula adalah dengan menaip semula ke dalam komputer, mencetak dan menghantarkannya untuk dinilai oleh pengajarnya. Situasi ini telah berubah setelah penggunaan internet diperluaskan. Pelajar hanya menyalin dan menampalkan (copy & paste) pernyataan yang dikehendaki melalui maklumat yang didapati melalui internet tanpa menulis sumber rujukan yang sesuai atau memberi pengiktirafan kepada pengarang asal.

Kajian lepas telah menyatakan terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet semakin membimbangkan masalah ini. Menurut Smith, Noorlaila Ghazali, & Siti Fatimah Noor Minhad (2007), faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet adalah ketidaksedaran, sikap peribadi, kemudahan internet, ketidakyakinan diri serta tekanan yang dihadapi oleh pelajar. Selain itu, kefahaman konsep plagiarisme melalui penggunaan internet juga memainkan peranan yang penting dalam masalah ini. Menurut Johnston (2003), kefahaman konsep plagiarisme melalui penggunaan internet amat penting dalam menangani masalah tersebut. Maka kefahaman pelajar terhadap konsep plagiarisme turut perlu diketahui selain daripada faktor-faktor yang menyebabkan plagiarisme melalui penggunaan internet.

Selain daripada itu, masalah plagiarisme melalui penggunaan internet juga memberi impak yang besar terhadap pembelajaran pelajar univesiti. Antara impaknya adalah motivasi dalam pembelajaran, kesediaan pembelajaran serta pendekatan pembelajaran yang digunakan oleh pelajar.

Apa itu Plagiarisme?

Plagiarisme (Plagiarism) adalah berasaskan daripada perkataan Latin iaitu plagiarius yang membawa maksud sebagai penculik atau perompak (Oxford English Dictionary dalam Hansen, 2003; Barnhart (1988) dalam Park, 2003; Rosnow & Rosnow, 1995). Menurut Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon, & Abdul Rahim Hamdan (2006, hlm. 21), plagiarisme didefinisikan sebagai:

“mencuri idea seseorang, atau laporan yang ditulis tanpa memberi sebarang penghargaan (credit) yang sesuai terhadap sumbangan yang diberikan oleh orang itu adalah mencuri hak orang.”

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2009), plagiarisme bermaksud:

“perbuatan mencedok kata-kata, idea, dan lain-lain daripada karya orang lain dan menggunakannya sebagai karyanya sendiri.”

Secara keseluruhannya, plagiarisme dalam kertas kerja ini telah merujuk kepada definisi yang diberi oleh istilah Malaysia dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2009) iaitu:

“Perbuatan meniru atau mengutip sebahagian atau keseluruhan karya orang lain tanpa izin atau tanpa memaklumkan nama pengkarya berkenaan. Sebaliknya, mengakui karya tersebut sebagai usahanya sendiri.”

Kefahaman Konsep Plagiarisme Melalui Penggunaan Internet

Kefahaman sesuatu konsep amat penting dalam pembelajaran. Ia membolehkan para pelajar menerokai pembelajaran mereka mengikuti pendekatan pembelajaran yang menyesuaikan diri iaitu, samada pendekatan mendalam atau pendekatan permukaan. Namun, para pelajar gagal memahami suatu konsep walaupun telah dipelajari (Wan Zah Wan Ali, 2000). Seseorang pelajar yang tidak faham terhadap suatu konsep dengan jelas, maka ia akan melibatkan diri dalam masalah yang tidak diingini seperti masalah plagiarisme melalui penggunaan internet yang akan dibincang dalam kertas kerja konseptual ini.

Menurut Introna, Hayes, Blair, & Wood (2003), ketidakfahaman konsep plagiarisme melalui penggunaan internet merupakan penyumbang utama kepada masalah ini. Kajian lepas yang telah dilakukan oleh beliau mendapati pelajar Yunani (Greek) yang memplagiat melalui penggunaan internet menjelaskan bahawa menyalin pernyataan daripada bahan bercetak seperti buku adalah salah tetapi menyalin pernyatan daripada internet adalah diterima. Jelas disini bahawa pelajar tidak faham konsep sebenar plagiarisme melalui penggunaan internet.

Selain daripada itu, hasil temubual antara pelajar universiti dalam laporan Introna, et al. (2003) juga mendapati ketidakfahaman konsep sebenar plagiarisme memainkan peranan penting dalam masalah ini. Dapatan kajian ini telah selari dengan kajian tinjauan yang telah dijalankan oleh Dawson (2004) dan kajian kualitatif yang telah dilakukan oleh Devlin & Gray (2007). Di samping itu, Shelley dalam Ercegovac & Richardson (2004) menyatakan bahawa konsep plagiarisme amat susah difahami dengan jelas dalam konteks yang berbeza.

Kajian di Malaysia juga menunjukkan pelajar universiti melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet disebabkan dengan ketidakfahaman konsep sebenar plagiarisme melalui penggunaan internet. Kajian yang telah dijalankan oleh Ho (2006) terhadap pelajar bacelor pengkhususan undang-undang di sebuah cawangan universiti di Malaysia mendapati seramai 47% pelajar tidak dapat mengenal pasti memparafrasa adalah sejenis plagiarisme. Jelaslah disini bahawa pelajar tidak faham terhadap konsep sebenar plagairisme.

Di samping itu, kajian yang telah dijalankan oleh Smith, et al. (2007) dan Zuraina Ali, Hafizoah Kassim, Zarina Mohd Ali, Noor Raha Mohd Radzuan, & Nor Yazi Khamis (2007) terhadap pelajar universiti di Malaysia juga menunjukkan mereka melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet adalah disebabkan oleh ketidakfahaman konsep sebenar plagiarisme. Maka kefahaman konsep sebenar plagiarisme melalui penggunaan internet perlu diterangkan dan ditunjuk dengan jelas dalam kalangan para pelajar.

Faktor yang Mempengaruhi Plagiarisme Melalui Penggunaan Internet

Daripada kajian lepas, pelbagai faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet telah dikesan. Antaranya adalah tidak mahir dalam menulis sumber rujukan yang sesuai atau memberi penghargaan kepada pengarang asal (Dawson, 2004; Devlin & Gray, 2007; Dunn, Morgan, O’Reilly, & Parry, 2003; Ho, 2006; Introna, et al., 2003; Smith, et al., 2007), lemah dalam bahasa Inggeris (Dawson, 2004; Introna, et al., 2003; Park, 2003; Smith, et al., 2007), pengurusan masa (Dahlia Syahrani Md. Yusof, 2007; Dawson, 2004; DeVoss & Rosati, 2002; Introna, et al., 2003; Smith, et al., 2007; Wan Zah Wan Ali, et al., 2008; Yeo, 2007) serta niat peribadi seperti malas atau keinginan mendapat markah yang tinggi (Dawson, 2004). Maka dalam kertas kerja konseptual ini akan merumuskan faktor-faktor tersebut kepada lima faktor yang utama, iaitu ketidaksedaran, sikap peribadi, kemudahan internet, ketidakyakinan diri dan tekanan.

Ketidaksedaran

Kesedaran merupakan faktor dalaman pada para pelajar yang menyebabkan pelajar melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet (Baggaley & Spencer, 2005; Smith, et al., 2007). Maka ia penting dalam mengelakkan pelajar terlibat dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet. Kajian Smith, et al. (2007) terhadap pelajar universiti di Malaysia mendapati faktor utama yang menyebabkan pelajar melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet adalah ketidaksedaran. Ini adalah kerana pelajar tidak tahu apakah penyebab kepada tindakan memplagiat melalui penggunaan internet. Selain daripada itu, beliau juga mendapati pelajar tidak sedar bahawa plagiarisme merupakan satu masalah yang serius serta tidak tahu cara yang betul untuk menulis sumber rujukan yang sesuai atau memberi penghargaan kepada pengarang asal dalam penulisan mereka.

Read also  Collaborative Learning Enhances Critical Thinking Education Essay

Kajian Zuraina Ali, Hafizoah Kassim, Zarina Mohd Ali, Noor Raha Mohd Radzuan, & Nor Yazi Khamis (2007) terhadap pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) pula mendapati bahawa tahap amalan plagiarisme melalui penggunaan internet dalam kalangan pelajar UMP adalah tinggi kerana pelajar tidak sedar penyebab utama kepada plagiarisme melalui penggunaan internet. Sehubungan dengan itu, analisis yang telah dilakukan oleh Fakhrul Anuar Aziz & Zulikha Jamaludin (2007) melalui kaedah pendekatan hermeneutics juga menyatakan bahawa:

“tahap kesedaran pelajar Asia terhadap plagiat melalui penggunaan ICT masih pada tahap rendah … gejala plagiat semakin meningkat di universiti serta semakin mengancam bidang akademik secara serius.” (hlm. 651)

Di samping itu, kajian Sisti (2007) mendapati pelajar kurang jelas serta tidak sedar dengan peraturan dan pengawalan mengenai masalah plagiarisme yang ditetapkan oleh institusi universiti maka mereka terlibat dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet secara tidak langsung.

Melalui pernyataan di atas, dapat disimpulkan bahawa faktor ketidaksedaran memainkan peranan yang penting dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet.

Sikap Peribadi

Sikap peribadi merupakan faktor dalaman yang menyebabkan seseorang pelajar melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet (Smith, et al., 2007). Menurut Smith, et al. (2007), pelajar yang besikap peribadi negatif seperti malas, tidak mempunyai keinginan belajar, tidak minat terhadap kursus serta suka membuat kerja pada saat akhir akan menyebabkan mereka terlibat dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet secara tidak langsung. Di samping itu, Smith, et al. (2007) juga mendapati bahawa sikap pelajar yang menggangap bahawa menulis sumber rujukan yang sesuai atau memberi penghargaan kepada pengarang asal adalah tidak penting dalam tugasan. Maka ia juga akan menyebabkan pelajar melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet secara tidak sengaja/tidak langsung.

Selain daripada itu, Sisti (2007) dalam kajiannya mendapati pelajar melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet disebabkan kawan mereka berbuat demikian dan tiada sebarang hukuman yang dikenakan. Selain daripada itu, mereka juga menyatakan bahawa jika mereka tidak berbuat demikian, kawan-kawan lain akan berbuat begitu juga.

Kemudahan Internet

Perkembangan internet telah memudahkan para pelajar untuk mendapat maklumat terkini di seluruh dunia tanpa mengira dimana sahaja mereka berada (Baharuddin Aris, Noraffandy Yahaya, Jamalludin Hj. Harun, & Zaidatun Tasir, 2000; Wang, 2008). Namun banyak kajian yang dijalankan di negara Barat telah menunjukkan ramai pelajar telah menyalahgunakan kemudahan internet yang telah disediakan (kajian yang telah dijalankan oleh Jones, Reid, & Bartlett, 2005; Miall, 2005; Nadelson, 2007; Robert, 2008; Szabo & Underwood, 2004).

Lantaran daripada itu, senario di Malaysia juga menunjukkan kemudahan internet disalahgunakan oleh pelajar. Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Profesor Tan Sri Anuwar Ali, Naib Canselor Universiti Terbuka Malaysia (OUM), dalam artikel bertajuk “Buang universiti jika ciplak” (“Buang universiti jika ciplak,” 2007) selepas merasmikan bangunan baru OUM di Seremban menyatakan bahawa:

“Teknologi seperti laman web sudah ada, ia mudah disalahgunakan. Memang kita sudah kesan pelajar yang melakukan plagiarisme dan ada antara mereka sudah dibuang atau digantung pengajian.”

Menurut Smith, et al. (2007), keadaan ini berlaku disebabkan oleh kemudahan internet yang memudahkan para pelajar mengakses maklumat atas talian serta memudahkan pelajar memuat turun (download) atau memuat naik (upload) dengan senang. Selain itu, ia juga membenarkan para pelajar menyalin dan menampalkannya dengan senang dalam komputer. Kaedah salin dan tampal ini hanya masa yang sedikit sahaja.

Ketidakyakinan Diri

Keyakinan diri merupakan faktor dalaman yang berada pada seseorang pelajar yang akan meyebabkan mereka melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet (Smith, et al., 2007). Ketidakyakinan diri dalam kertas kerja konseptual ini merujuk kepada tidak yakin untuk menyiapkan tugasan dengan baik dan berkualiti, lemah dalam penulisan, kelemahan bahasa Inggeris, tidak faham maklumat/artikel dalam bahasa Inggeris serta sukar untuk menterjemahkan maklumat kepada pernyataan sendiri.

Dapat kajian Introna, et al. (2003) melalui temuduga pelajar Indian dari negara India menerangkan bahawa pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris sukar menghuraikan idea daripada maklumat kepada pernyataan sendiri. Namun, dengan ketidakmahiran bahasa Inggeris, maka pelajar mengakhiri tugasannya dengan hanya menyalin dan menampalkan pernyataan dari internet ke dalam tugasan sendiri.

Tekanan

Tekanan merupakan faktor luaran yang berada pada seseorang pelajar yang menyebabkan mereka melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet (Love & Simmons, 1998; Smith, et al., 2007). Menurut Smith, et al. (2007), tekanan yang biasanya dihadapi oleh pelajar adalah dari aspek pengurusan masa, ketidakfahaman kehendak tugasan ataupun tekanan daripada keluarga yang mengharapkan mereka memperoleh gred yang baik.

Namun, menurut Macan (1990 dalam Wan Zah Wan Ali, et al., 2008) menyatakan bahawa tekanan wujud apabila seseorang pelajar tidak mahir dalam pengurusan masa. Wan Zah Wan Ali (2008) menambah lagi bahawa pengurusan masa yang tidak mantap akan menyebabkan seseorang pelajar berasa tertekan dan akhirnya mereka akan melibatkan diri dalam masalah plagiarisme.

Selain daripada tekanan dari aspek pengurusan masa, tekanan keluarga juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet semakin membimbangkan (Ercegovac & Richardson Jr, 2004). Fred Schab dalam Ercegovac & Richardson Jr (2004) menegaskan bahawa pelajar yang melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet disebabkan mereka risau gagal dalam pembelajarannya serta mempunyai pengharapan yang tinggi daripada ahli keluarga. Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pelajar mempunyai tugasan yang banyak pada satu masa yang sama akan cenderung ke arah plagiarisme melalui penggunaan internet. Perbuatan plagiarisme mereka ini besar kemungkinan adalah melalui saling menyalin antara satu sama lain dalam kalangan kawan-kawannya.

Namun, dengan pelbagai tekanan yang dihadapi oleh pelajar akan menyebabkan mereka terlibat dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet secara tidak langsung. Justeru itu, Jenkins & Helmore (2006) menyimpulkan bahawa jika tekanan pada seseorang pelajar bertambah, maka ia akan lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet.

Kesan Plagiarisme Melalui Penggunaan Internet Ke Atas Pembelajaran Pelajar

Plagiarisme melalui penggunaan internet telah banyak memberi kesan kepada pembelajaran pelajar universiti. Terdapat tiga aspek kesan pembelajaran yang akan dibincang dalam kertas kerja konseptual ini iaitu motivasi dalam pembelajaran, kesediaan pembelajaran, serta pendekatan pembelajaran.

Motivasi

Motivasi amat penting dalam proses pembelajaran (Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya, & Fawziah Yahya, 2005). Menurut Boon & Kaur (1998), motivasi merupakan satu kuasa dalaman yang membolehkan/menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Ma’rof Redzuan (2001) pula mejelaskan bahawa motivasi akan menggerak dan memberi arah kepada pemikiran, perasaan dan tingkah laku kepada seseorang pelajar. Namun, ia akan menggerak dan mengawal tingkah laku seseorang pelajar ke arah pencapaian matlamat (kepuasan sendiri). Lantaran daripada itu, Yahya Bin Don (2006) menjelaskan bahawa motivasi merupakan suatu rancangan atau kehendak seseorang bagi mencapai suatu matlamat. Selain daripada itu, dalam teori tingkah laku, motivasi bertindak sebagai dorongan manakala dalam teori kognitif pula, motivasi bertindak bagi menghasilkan niat dan pencapaian matlamat (Azizi Yahaya, et al., 2005).

Read also  Creative Thinking And Problem Solving Education Essay

Di samping itu, Rasidah Binti Rashid (2007) menjelaskan bahawa motivasi bagi setiap individu adalah berbeza dalam mencapai suatu matlamat yang diinginkan, maka ia akan mempengaruhi pendekatan pembelajaran yang berbeza dalam kalangan pelajar. Beliau juga menyatakan bahawa pelajar akan menggunakan pendekatan pembelajaran yang berbeza mengikut kehendak mereka terhadap pencapaian matlamatnya. Namun, motivasi amat penting dalam pembelajaran pelajar dimana ia akan mempengaruhi keputusan pelajar untuk memplagiat (Sieman, 2008).

Motivasi Intrinsik

Motivasi intrinsik merupakan motivasi yang wujud pada dalaman seseorang pelajar. Ia susah diukur atau dilihat dengan jelas kecuali pemerhatian melalui tingkah laku seseorang pelajar (Rasidah Binti Rashid, 2007). Justeru itu, motivasi intrinsik akan menyebabkan seseorang pelajar bertindak untuk kepentingan dan keinginan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Daripada kajian lepas, motivasi intrinsik dirujuk kepada penguasaan diri terhadap pembelajaran dimana ia akan mempengaruhi keupayaan seseorang pelajar atau penguasaannya terhadap sesuatu topik (Rettinger, Jordan, & Peschiera, 2004).

Menurut Rettinger, et al (2004), pelajar yang bermotivasi intrinsik dalam pembelajarannya akan kurang terlibat dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet jika dibandingkan dengan pelajar yang bermotivasi ekstrinsik. Beliau juga menyatakan bahawa pelajar yang bermotivasi intrinsik adalah seperti memahami sesuatu topik secara mendalam, berusaha mencari pengetahuan yang baharu untuk memenuhi keinginan mereka. Di samping itu, pelajar yang bermotivasi ekstrinsik adalah belajar hanya mendapat gred yang tinggi serta ingin mendapat galakkan dan pujian daripada pengajar.

Menurut Murdock & Anderman (2006), pelajar yang mementingkan penguasaan dalam pembelajaran atau bermatlamat intrinsik akan kurang terlibat dalam masalah plagiarisme manakala pelajar yang mementingkan prestasi atau bermatlamat ekstrinsik akan cenderung kepada masalah plagiarisme. Belcheir (2005) dalam laporannya menjelaskan bahawa pelajar yang memplagiat biasanya mempunyai motivasi ekstrinsik (contohnya memperolehi CGPA yang tinggi atau mendapat pujian daripada pengajarnya) jika dibandingkan dengan motivasi intrinsik (menguasai suatu topik dengan sepenuhnya). Namun, boleh disimpulkan bahawa pelajar yang bermotivasi ekstrinsik lebih cenderung kepada masalah plagiarisme melalui penggunaan internet (Rettinger, et al., 2004).

Motivasi Ekstrinsik

Motivasi ekstrinsik merupakan motivasi yang wujud pada luaran seseorang pelajar. Banyak kajian telah dijalankan oleh psikologik menyatakan bahawa motivasi ekstrinsik merupakan dorongan luaran yang menggerakkan seseorang individu untuk melakukan sesuatu tingkah laku. Menurut Rettinger, et al (2004), motivasi ekstrinsik pelajar dalam pembelajaran lebih kepada matlamat pencapaian. Namun, ia amat berkait rapat dengan minat pelajar terhadap pembelajarannya ataupun untuk mendapat gred yang tinggi. Jikalau pelajar berminat terhadap sesuatu kursus, mereka akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sebaliknya, jika mereka tidak berminat tehadap kursus tersebut, mereka akan melakukannya dengan hanya untuk mendapat gred dengan cara yang tertentu misalnya plagiarisme melalui penggunaan internet.

Kesediaan Pembelajaran

Menurut Ee (2003), kesediaan pembelajaran adalah keadaan dimana ia membolehkan seseorang pelajar menikmati pembelajarannya. Secara umumnya, terdapat tiga aspek dalam kesediaan pembelajaran iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif, dan kesediaan psikomotor. Kesediaan kognitif dirujuk kepada kesediaan mental iaitu pencapaian akademik selaras dengan usaha yang dilakukannya. Kesediaan afektif merujuk kepada sikap, minat dan perasaan seseorang pelajar. Kesediaan psikomotor pula adalah kesediaan seseorang melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan pergerakan otot. Namun, dalam konteks ini, kesediaan pembelajaran hanya akan dibincang dari segi kesediaan kognitif dan kesediaan mental.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kesediaan pembelajaran seseorang pelajar iaitu kematangan, pengalaman, motivasi, perhatian, kemahiran asas, aspek sosial serta aspek emosi. Bagi seseorang pelajar yang matang, berpengalaman, bermotivasi intrinsik, berkeupayaan memberi perhatian yang teliti, berkemahiran terhadap sesuatu topik, berupaya berinteraksi dengan orang lain serta beremosi yang stabil akan mempunyai kesediaan pembelajaran yang tinggi (Ee, 2003).

Bagaimanapun, kesediaan pembelajaran amat penting dalam masalah plagiarisme melalui penggunaan internet. Ini kerana plagiarisme melalui penggunaan internet mungkin akan membolehkan pelajar lebih bersedia dalam pembelajarannya seperti membaca nota sebelum mengikuti kuliah, bersedia menerima cabaran dalam pembelajaran ataupun lebih bersedia dalam penulisan.

Pendekatan Pembelajaran

Pendekatan pembelajaran merupakan peringkat ‘proses’ dalam model pembelajaran ‘3P’ (Biggs, Kember, & Leung, 2001). Menurut Biggs(1987), pendekatan pembelajaran amat berkait rapat dengan niat dan strategi yang digunakan oleh pelajar untuk memperolehi maklumat semasa pembelajaran mereka. Pada umumnya, terdapat dua kategori pendekatan pembelajaran iaitu pendekatan pembelajaran mendalam dan pendekatan pembelajaran permukaan (Marton dan Saljo, 1979 dalam Wan Zah Wan Ali, 2000).

Pendekatan Pembelajaran Mendalam

Menurut Wan Zah Wan Ali (2000), pelajar yang mengamalkan pendekatan pembelajaran mendalam akan berusaha untuk mencari kepuasan yang mendalam dalam pembelajarannya. Selain itu, mereka juga akan menikmati proses pembelajaran dimana mereka menghayati topik yang dipelajari serta mempelajari topik-topik akademik sama seperti membaca novel atau menonton wayang yang menyeronokkan (Biggs, et al., 2001).

Pendekatan Pembelajaran Permukaan

Menurut Biggs (1987), pelajar yang mengamalkan pendekatan pembelajaran permukaan tidak akan mempelajari topik akademik secara serius. Hal ini kerana matlamat mereka adalah hanya untuk lulus peperiksaan dengan sedikit usaha sahaja. namun, untuk meluluskan peperiksaan, mereka hanya belajar perkara yang diberikan oleh pengajarnya sewaktu kuliah. Mereka tidak akan meluangkan masa yang lebih untuk mendapatkan matlumat tambahan tentang topik yang baharu dipelajari (Biggs, et al., 2001; Wan Zah Wan Ali, 2000).

Kerangka Konseptual

Untuk memdalami masalah plagiarisme melalui penggunaan internet, satu kerangka konseptual (Jadual 1) telah dicadangkan oleh pengkaji. Kerangka konseptual ini telah dibina berdasarkan kajian lepas dalam negara mahupun luar negara. Dalam kertas kerja konseptual ini telah membincang tiga aspek yang berkait rapat dengan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet iaitu kefahaman konsep plagiarisme melalui penggunaan internet, faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme semakin membimbangkan serta kesan plagiarisme melalui penggunaan internet ke atas pembelajaran pelajar universiti.

Jadual 1: kerangka konseptual antara konsep, faktor dan kesan plagiarisme melalui penggunaan internet ke atas pembelajaran pelajar universiti

Berdasarkan kepada Jadual 1, didapati kefahaman konsep plagiarisme melalui penggunaan internet serta faktor yang menyebabkan masalah plagiarisme melalui penggunaan internet seperti ketidaksedaran, sikap peribadi, kemudahan internet, ketidakyakinan diri dan tekanan merupakan pembolehubah tidak bersandar. Ini disebabkan kefahaman dan faktor telah memberi kesan kepada masalah plagiarisme melalui penggunaan internet. Pada masa yang sama, masalah plagiarisme melalui penggunaan internet telah memberi kesan dalam pembelajaran pelajar universiti dari segi motivasi, kesediaan serta pendekatan pembelajaran.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, internet telah banyak memberi sumbangan kepada manusia, dimana ia telah memudahkan manusia dalam pelbagai bidang seperti bidang ekonomi, bidang perubatan, bidang akademik dan sebagainya. Namun, dengan kesenangan yang sedia ada ini menyebabkan pelajar menyalahgunakannya misalnya masalah plagiarisme. Hal ini disebabkan kefahaman konsep serta faktor-faktor yang tertentu yang mendorongkan pelajar melakukan sedemikian. Justeru itu, masalah plagiarisme melalui penggunaan internet haruslah ditangani dengan segera. Jika tidak, ia akan menjatuhkan nama baik universiti kita mahupun nama baik negara kita.

Read also  Analysis Of Noun Phrase In English And Vietnamese Education Essay

Rujukan

  • Azizi Yahaya, Asmah Suboh, Zurihanmi Zakariya, & Fawziah Yahya (2005). Aplikasi kognitif dalam pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional.
  • Azizi Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon, & Abdul Rahim Hamdan (2006). Menguasai penyelidikan dalam pendidikan: Teori, analisis dan interpretasi data. Kuala Lumpur: PTS Professional.
  • Baggaley, J., & Spencer, B. (2005). The mind of a plagiarist. Learning, Media, & Technology, 30(1), 55-62. Retrieved from 10.1080/13581650500075587 http://search.ebscohost.com/login.aspx?direct=true&db=a3h&AN=20032327&site=ehost-live
  • Baharuddin Aris, Noraffandy Yahaya, Jamalludin Hj. Harun, & Zaidatun Tasir (2000). Siri modul pembelajaran: Teknologi pendidikan dari tradisi kepada yang terkini. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
  • Belcheir, M. J. (2005). Academic dishonesty at Boise State University (Research Report). Boise: Boise State University, Office of Institutional Assessment.
  • Biggs, J., Kember, D., & Leung, D. Y. P. (2001). The revised two-factor Study Process Questionnaire: R-SPQ- 2F. British Journal of Educational Psychology, 71(1), 133-149. Retrieved from http://search.ebscohost.com/login.aspx?direct=true&db=a3h&AN=7435718&site=ehost-live
  • Biggs, J. B. (1987). Student approaches to learning and studying. Research monograph. Australia: Australian Council for Educational Research.
  • Boon, P. Y., & Kaur, R. (1998). Siri bimbingan diploma perguruan psikologi II (Semester II). Shah Alam: Fajar Bakti.
  • Buang universiti jika ciplak (2007, 28 Disember). Utusan Malaysia Online. Retrieved 19 September 2008, from http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1228&pub=utusan_malaysia&sec=dalam_negeri&pg=dn_02.htm&arc=hive
  • Dahlia Syahrani Md. Yusof (2007). A Different Perspective on Plagiarism. The Internet TESL Journal, 15(2). Retrieved from http://iteslj.org/Articles/Yusof-Plagiarism.html
  • Dawson, J. (2004, 9-10 February). Plagiarism: What’s really going on? Paper presented at the Seeking Educational Excellence. 13th Annual Teaching and Learning Forum, Perth: Murdoch University.
  • Devlin, M., & Gray, K. (2007). In their own words: A qualitative study of the reasons Australian university students plagiarize. Higher Education Research & Development, 26(2), 181-198. Retrieved from http://www.informaworld.com/10.1080/07294360701310805
  • DeVoss, D., & Rosati, A. C. (2002). “It wasn’t me, was it?” Plagiarism and the Web. Computers and Composition, 19(2), 191-203. Retrieved from http://www.sciencedirect.com/science/article/B6W49-468TCXP-2/2/a7cffd766a84be879c67be595dc0204c
  • Dunn, L., Morgan, C., O’Reilly, M., & Parry, S. (2003). Academic fraud and plagiarism. In L. Dunn, C. Morgan, M. O’Reilly & S. Parry (Eds.), The Student Assessment Handbook (pp. 59-66). London: Routledge.
  • Ee, A. M. (2003). Ilmu pendidikan pengetahuan dan ketrampilan ikhtisas semester I. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
  • Ercegovac, Z., & Richardson Jr, J. V. (2004). Academic dishonesty, plagiarism included, in the digital age: A literature review. College & Research Libraries, 301-318. Retrieved from http://www.ftrf.org/ala/mgrps/divs/acrl/publications/crljournal/2004/jul/ercegovac.pdf
  • Fakhrul Anuar Aziz, & Zulikha Jamaludin (2007). Plagiarisme berasaskan internet: Suatu analisis. Paper presented at the 1st International Malaysian Educational Technology Convention, Sofitel Palm Resort, Senai, Johor Bahru, Malaysia.
  • Hansen, B. (2003). Combating Plagiarism. CQ Researcher, 13(32), 773-796. Retrieved from http://www.cqpress.com/docs/Combating%20Plagiarism.pdf
  • Ho, C. C. (2006). Are undergraduates able to identify instances of plagiarism? Journal of Language Studies(2), 55-62.
  • Introna, L., Hayes, N., Blair, L., & Wood, E. (2003). Cultural attitudes towards plagiarism. Lancaster: University of Lancaster.
  • Jenkins, T., & Helmore, S. (2006). Coursework for Cash: The threat from on-line plagiarism. Paper presented at the Higher Education Academy.
  • Johnston, B. (2003). The concept of lagiarism. The Higher Education Academy, 2(1). Retrieved from http://www.palatine.ac.uk/files/927.pdf
  • Jones, K. O., Reid, J. M. V., & Bartlett, R. (2005). Student plagiarism and cheating in an IT age. Paper presented at the International Conference on Computer System and Technologies-CompSysTech’2005, Moores University.
  • Love, P. G., & Simmons, J. (1998). Factors influencing cheating and plagiarism among graduate students in a college of education. College Student Journal, 32(4), 539. Retrieved from http://search.ebscohost.com/login.aspx?direct=true&db=a3h&AN=1410910&site=ehost-live
  • Ma’rof Redzuan (2001). Psikologi sosial. Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
  • Miall, C. (2005). Plagiarism and new media technologies: Combating’cut’n paste’culture. Paper presented at the OLT 2005 Conference, QUT, Brisbane.
  • Murdock, T. B., & Anderman, E. M. (2006). Motivational perspectives on student cheating: Toward an integrated model of academic dishonesty. Educational Psychologist, 41(3), 129-145. Retrieved from http://www.mwit.ac.th/~t2040115/Ethics/students’cheating.pdf
  • Nadelson, S. (2007). Academic misconduct by university students: Faculty perceptions and responses. Plagiary: Cross-Disciplinary Studies in Plagiarism, Fabrication, and Falsification, 2(2), 1-10. Retrieved from http://www.plagiary.org/2007/academic-misconduct.pdf
  • Park, C. (2003). In other (people’s) words: Plagiarism by university students-literature and lessons. Assessment & Evaluation in Higher Education, 28(5), 471-488. Retrieved from http://www.informaworld.com/10.1080/02602930301677
  • Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2009). Plagiarisme Retrieved 1 September, 2009, from http://prpm.dbp.gov.my/carian.aspx?cari=plagiarisme&ID=Kamus%20dan%20Istilah&muka=5&IMY=111&BIMY=–Semua%20Bidang–&IM=1111&BIM=–Semua%20Bidang–&BSB=–Semua%20Bahasa–&BST=–Semua%20Tema–&entrikamus=2&entribs=0&s=Semua
  • Rasidah Binti Rashid (2007). Hubungan antara gaya pembelajaran dengan motivasi dalam kalangan pelajar di sebuah sekolah menengah luar bandar, Sabah. Unpublished Masters Thesis, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
  • Rettinger, D. A., Jordan, A. E., & Peschiera, F. (2004). Evaluating the Motivation of Other Students to Cheat: A Vignette Experiment. Research in Higher Education, 45(8), 873-890. Retrieved from http://dx.doi.org/10.1007/s11162-004-5952-0
  • Robert, T. S. (2008). Student plagiarism in an online world: An introduction. In T. S. Robert (Ed.), Student plagiarism in an online world: Problems and solutions (pp. 1-9). United State: Information Science Reference IGI Global.
  • Rosnow, R. L., & Rosnow, M. (1995). Writing papers in psychology (3rd ed.). Brooks/Cole: Pacific Grove, CA.
  • Sieman, A. M. (2008). Motivational Predictors of Academic Cheating Among First-Year College Students: Goals, Expectations, and Costs. North Carolina State University, Raleigh, North Carolina.
  • Sisti, D. A. (2007). How do high school students justify internet plagiarism? Ethics & Behavior, 17(3), 215-231. Retrieved from http://www.informaworld.com/10.1080/10508420701519163
  • Smith, M., Noorlaila Ghazali, & Siti Fatimah Noor Minhad (2007). Attitudes towards plagiarism among undergraduate accounting students: Malaysian evidence. Asian Review of Accounting, 15(2), 122-146. Retrieved from http://www.emeraldinsight.com/Insight/viewPDF.jsp?contentType=Article&Filename=html/Output/Published/EmeraldFullTextArticle/Pdf/3410150202.pdf
  • Szabo, A., & Underwood, J. (2004). Cybercheats: Is information and communication technology fuelling academic dishonesty? Active Learning in Higher Education, 5(2), 180-199. Retrieved from http://alh.sagepub.com/cgi/content/abstract/5/2/180. doi:10.1177/1469787404043815
  • Wan Zah Wan Ali (2000). Memahami pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
  • Wan Zah Wan Ali, Aida Suraya Md. Yunus, Ramlah Hamzah, Rosini Abu, Rohani Ahmad Tarmizi, Sharifah Md. Nor, et al. (2008). Kemahiran pengurusan masa dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia. In Tajularipin Sulaiman & Wan Zah Wan Ali (Eds.), Memperkasakan pendidikan negara: Isu dan cabaran (pp. 66-84). Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
  • Wang, Y. M. (2008). University student online plagiarism. International Journal on E-Learning, 7(4), 743-757. Retrieved from http://search.ebscohost.com/login.aspx?direct=true&db=eric&AN=EJ810080&site=ehost-live http://www.editlib.org/index.cfm?fuseaction=Reader.ViewAbstract&paper_id=24455
  • Yahya Bin Don (2006). Psikologi Sosial Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Professional.
  • Yeo, S. (2007). First-year university science and engineering students’ understanding of plagiarism. Higher Education Research & Development, 26(2), 199-216. Retrieved from http://www.informaworld.com/10.1080/07294360701310813
  • Zuraina Ali, Hafizoah Kassim, Zarina Mohd Ali, Noor Raha Mohd Radzuan, & Khamis, N. Y. (2007). Designing standard plagiarism guidelines for internet materials. Universiti Malaysia Pahang, Pahang.
  • Zuraina Ali, Hafizoah Kassim, Zarina Mohd Ali, Noor Raha Mohd Radzuan, & Nor Yazi Khamis (2007). Designing standard plagiarism guidelines for internet materials. Universiti Malaysia Pahang, Pahang.
Order Now

Order Now

Type of Paper
Subject
Deadline
Number of Pages
(275 words)