Pusat Pemikiran and Kefahaman Islam (CITU)

Pendahuluan

Institusi wakaf memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup umat Islam selain daripada ibadah mal yang bertujuan mendekatkan diri kepada Allah. Penulisan ini bertujuan membincangkan secara ilmiah mengenai konsep wakaf tunai yang dilihat berpotensi untuk dikembangkan amalannya dikalangan masyarakat Islam di negara ini bersesuaian dengan sifatnya yang mudah dan praktikal. Wakaf tunai juga dilihat sebagai sebuah mekanisme unggul yang berupaya menjana pendapatan dan perolehan dalam melaksanakan misi dakwah Islamiah selain menjadi modul “wakaf mampu milik” yang membuka ruangan baru kepada masyarakat Islam untuk turut sama menyumbang dalam usaha mengembeleng harta dan tenaga demi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini.

Penulisan ini bukanlah bertujuan membincangkan kekayaan aset wakaf yang dimiliki oleh mana-mana negeri dalam Malaysia. Tetapi ianya bertujuan mengemukakan cadangan awal ke arah mewujudkan satu konsep baru wakaf yang lebih mudah dan praktikal serta kurang bermasalah berbanding dengan pengurusan aset dan hartanah wakaf sedia ada pada masa kini.

Justeru, amat jauh sekali daripada tujuan menambah atau mengada-adakan sesuatu yang baru dalam syariat Islam. Apa yang dimaksudkan dan diinginkan adalah untuk memurnikan kembali perlaksanaan konsep wakaf supaya dapat menggalakkan orang-orang sekarang dan generasi akan datang menceburkan diri dalam ibadat berwakaf di bawah pengurusan profesional dan moden, sesuai dengan perubahan masa.

Di negara kita, wakaf masih belum meresap dan sebati dalam tubuh badan serta minda umat Islam. Realiti yang berlaku kini, masyarakat kebanyakannya masih belum memahami secara jelas mengenai konsep wakaf. Rata-rata memandang wakaf adalah tanah-tanah kubur ataupun tapak-tapak masjid sahaja. Sedangkan konsep wakaf mempunyai skop yang amat luas yang meliputi premis-premis ataupun kompleks-kompleks perniagaan, rumah kedai, kediaman dan sebagainya. Wakaf telah digunakan sebagai mekanisma pembangunan dalam sektor pendidikan, mengurangkan kadar kemiskinan, kesihatan, kebajikan, penyelidikan dan sebagainya.

Wakaf juga telah digunakan bukan sahaja sebagai alat untuk pengagihan semula kekayaan tetapi juga untuk memperkukuhkan keupayaan individu dan masyarakat yang memerlukan bantuan asas seperti modal pinjaman, rawatan hospital, makanan berkhasiat, keperluan infrastruktur dan sebagainya. Kehebatan sistem pendidikan, kesihatan, gedung perniagaan, kawasan peristirehatan dan kebajikan masyarakat terserlah melalui institusi wakaf pada zaman keagungan Islam.

Keterbatasan sumber-sumber premier berkaitan wakaf adalah suatu hikmah yang membuka seluas-luasnya ruang ijtihad. Oleh kerana ia bersifat ijtihadi, maka ia bersifat fleksibel, terbuka kepada penafsiran-penafsiran baru, dinamik dan futuristik yang boleh dikembangkan potensinya sesuai dengan keperluan zaman dan meningkatkan ekonomi umat Islam[1]

Pengertian Wakaf

Kalimah wakaf merupakan kata terbitan daripada kata dasar waqafa (waqafa – yaqifu – waqfan) yang bermaksud menahan atau menegah sesuatu.[2] Demikian juga perkataan al-habs memberi konotasi seerti dengan al-waqf. Dikatakan “ahbastu” atau “waqaftu” kedua-duanya memberi maksud menahan atau mengawal, iaitu menahan atau mengawal harta bernilai untuk diambil manfaatnya kerana Allah demi untuk kepentingan umum.Seterusnya istilah wakaf digunakan secara komprehansif di dalam semua permasalahan yang merujuk kepada urusan “penahanan” harta bernilai untuk tujuan kebajikan.

Wakaf merupakan sebahagian daripada bentuk amal jariah yang ganjaran pahalanya akan terus menerus berlaku hingga wakafnya berakhir atau musnah, walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia. Hukum mewakafkan harta adalah sunat kerana ia merupakan perbuatan yang baik daripada kerja kebajikan yang sangat dituntut. Abu Hurairah telah menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

” Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaat dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.” (Riwayat Muslim).

Imam al-Rafi’e menjelaskan perkataan bersedekah jariah dalam hadith tersebut dengan maksud wakaf kerana pahala sedekah jariah wakaf terus menerus mengalir kepada orang yang melakukannya, sedangkan sedekah yang lain pahala tidak berpanjangan mengalir seperti wakaf. Antara tujuan wakaf adalah untuk mendekatkan seorang hamba dengan Allah. Oleh itu, wakaf hanya dibolehkan kepada perkara kepentingan umum umat Islam dan bukan kepada tempat ibadat orang-orang kafir, atau disalurkan ke dalam aktiviti yang haram atau maksiat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Muhammad Abu Zahrah menyatakan amalan wakaf tidak terhad kepada pembinaan masjid, bahkan merangkumi semua bentuk amalan yang berlaku pada sedekah seperti amalan mewakafkan harta benda, tanah, wang sewaan tanah, pembinaan hospital, rumah-rumah anak yatim dan fakir miskin. Salah satu contoh harta wakaf umat Islam yang kekal sehingga kini ialah pembinaan Universiti al-Azhar semenjak 1000 tahun lalu. Sehingga kini pembiayaan dikendalikan daripada harta wakaf yang memberi khidmat percuma pengajian kepada pelajar Islam dari seluruh dunia.

Al-Zuhayli telah mengutarakan pandangan al-Malikiyah berkenaan maksud wakaf adalah difahami sebagai perbuatan pewakaf (waqif) yang menjadikan manfaat hartanya untuk tujuan kebajikan, walaupun manfaat tersebut dalam bentuk sewaan, ataupun menjadikan hasilnya (harta wakaf) sesuatu yang bernilai seperti wang, dengan lafaz wakaf untuk jangkamasa tertentu bersesuaian dengan kehendak pewakaf. Selain itu, harta wakaf tidak akan berpindah milik bahkan akan terus kekal menjadi hak milik pewakaf. Justeru wakaf menurut Imam Malik tidak menghilangkan hak milik pewakaf ke atas harta wakaf, Cuma pewakaf tidak boleh menggunakan harta wakaf tersebut selain daripada tujuan yang diwakafkan.[3]

Timbul persoalan dalam membahaskan samada harta dalam bentuk wang ringgit boleh diwakafkan atau tidak. Perkara ini menjadi perdebatan pandangan di kalangan ulama. Walau bagaimanapun terdapat di kalangan fuqaha al-Malikiyah membenarkannya.[4] Begitu juga Zufar dan al-Ansari daripada kalangan al-Hanafiah[5] dan satu riwayat dari Imam Ahmad dan Ibn Taimiyah dari kalangan Mazhab Hanbali.[6] Ini kerana bagi mereka wakaf boleh dilakukan terhadap apa sahaja harta yang harus dimanfaatkan dalam keadaan zatnya dikekalkan atau digantikan zatnya.

Fatwa yang dikeluarkan oleh Al-Zuhri seorang ulama terkenal dalam ilmu hadith, berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham dibenarkan bagi tujuan-tujuan berdakwah, kebajikan masyarakat dan pembangunan ummah. Kerana kemampuan mal masyarakat kebanyakannya adalah terhad dan terbatas sedangkan urusan dakwah dan kebajikan saban hari menuntut keberlangsungannya. Maka dengan keharusan berwakaf secara tunai, semua masyarakat boleh menyumbang mengikut tahap kemampuan dan kupayaan masing-masing.

Menurut Ibn `Abidin, mewakafkan wang ataupun duit adalah sah meskipun fizikalnya tidak boleh dikekalkan dalam bentuknya yang asal tetapi pengekalan ini masih boleh direalisasikan dengan menukarkannya kepada bentuk yang lain (atau harta lain yang bersifat kekal). Dalam masa yang sama, beliau berpandangan bahawa kesahannya hanya terhenti kepada uruf atau adat masyarakat setempat.[7]

Justeru wang tunai boleh dijadikan harta wakaf kerana manfaat wang dapat digunakan dengan zatnya digantikan. Ini bermakna berasaskan pandangan ini jika wang dikumpulkan untuk digunakan mendapatkan suatu harta tetap yang bakal menjadi harta wakaf sudah pasti tidak lagi menjadi suatu yang dibahaskan lagi. Ini kerana usaha tersebut telah menggabungkan dua pandangan yang berbeza di kalangan fuqaha. Dengan kata lain jika berlaku penyaluran modal dalam bentuk wang bagi memajukan suatu aset, yang kemudiannya menjadi harta wakaf, sudah pasti ia menjadi suatu yang tidak bercanggah dengan pandangan fuqaha silam.

Peranan Wakaf

Keampuhan institusi wakaf berupaya mengurangkan perbelanjaan pemerintah dalam konteks pembangunan dan memenuhi keperluan masyarakat. Ini terbukti apabila terdapat sebilangan pertubuhan-pertubuhan korporat secara sukarela tampil menyalurkan bantuan melaksanakan projek-projek berasaskan wakaf bagi tujuan memenuhi dan menyediakan keperluan masyarakat sekaligus menyebarluas syiar Islam di bumi ini.

Namun begitu, pelaksanaan wakaf diperingkat perdana tidak akan terhasil andainya tiada kerjasama dan persefahaman diantara kedua-dua belah pihak. Pihak pemerintah melalui peruntukan undang-undang sedia ada boleh melaksanakan pelbagai cara bagi tujuan memperkembangkan fungsi wakaf galakan dan dorongan pemerintah terhadap sektor swasta menjalankan projek di bawah inisiatif wakaf dengan memberi jaminan dan kemudahan tender dan sebagainya kepada sektor terbabit.

Selain itu, wakaf juga berperanan sebagai bumper zone atau zon penampan kepada bencana inflasi yang menggugat kelestarian ekonomi negara. Apabila umat Islam mula menyedari hakikat pelaksanaan wakaf dan mewakafkan harta mereka, secara tidak langsung akan mengurangkan jumlah harta yang terkumpul secara milikan peribadi. Apabila berkurangnya jumlah harta yang dimiliki secara peribadi sedikit sebanyak akan menurunkan kuasa beli mereka dan seterusnya kebanyakan wang akan kembali semula kepada kerajaan. Dengan berkurangnya kuasa beli masyarakat permintaan akan menurun ke tahap yang seimbang dengan penawaran barangan di pasaran

Wakaf juga merupakan salah satu daripada keistimewaan agama Islam yang tidak ada pada agama lain. Ianya merupakan satu anugerah dan rahmat Ilahi untuk hamba-Nya. Islam meletakkan panduan dan syarat supaya amalan berwakaf ini dapat dimanfaatkan secara berterusan bagi mewujudkan keadilan sosial dan membantu golongan terpinggir dalam masyarakat, juga untuk tujuan-tujuan lain seperti dakwah Islamiah yang dituntut keberlangsungannya di dalam sesebuah masyarakat.

Manfaat dan kebaikan wakaf meliputi segenap skop kehidupan manusia. Ciri-ciri kebajikan yang ada padanya dapat mengurangi tekanan dan tuntutan hidup yang mencengkam golongan fakir miskin yang diibaratkan seperti “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Manakala kedudukan wakaf dalam ajaran Islam amat tinggi nilainya. Bahkan mempunyai tiga dimensi:

  1. Memberi pahala yang berganda kepada orang yang berwakaf.
  2. Menunaikan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan masyarakat yang daif.
  3. Menaikkan martabat dan syiar Islam.

Dalam aspek kerohanian, wakaf mendidik jiwa manusia supaya bersifat ihsan, belas kasihan dan tolong menolong sesama manusia. Di samping itu, ianya mengikis sikap bakhil dan tamak yang menjadi darah daging di dalam diri manusia. Selain itu juga, ianya dapat menghubung dan mengeratkan kembali hubungan silaturrahim sesama masyarakat yang semakin hari semakin direnggangi oleh kesibukan dunia.

Sumbangan Awal Wakaf

Kebanyakan harta-harta yang diwakafkan di zaman permulaan Islam semasa hayat Baginda Rasulullah SAW ialah harta-harta kekal atau tahan lama, seperti tanah, rumah dan lain-lain. Bermula dengan wakaf yang dilakukan oleh Saidina Umar RA dengan sebidang tanah miliknya di Khaybar seterusnya Abu Talhah dengan kebun Bayroha kesayangannya dan kemudiannya diikuti oleh Saidina Uthman RA yang mewakafkan bi’r al-rumanah untuk kegunaan kaum Muslimin.

Read also  The Global Financial Crisis Impact On Kuwait Economics Essay

Harta-harta yang berkekalan itu bukanlah terbatas kepada harta-harta tidak alih sahaja. Tetapi termasuk harta boleh alih, seperti senjata atau alat-alat pertanian. Yang dimaksudkan berkekalan itu ialah yang tahan lama kegunaannya. Ini dinyatakan di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, dan Ahmad yang bermaksud: Bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Adapun Khalid, sesungguhnya dia telah mewakafkan perisai-perisai dan kelengkapan perangnya di jalan Allah.” [8]

Masjid al-Nabawi merupakan bukti awal subangan wakaf di zaman permulaan Islam. Masjid yang didirikan di atas sebidang tanah wakaf[9] telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam sejarah perkembangan Islam di Madinah yang telah berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu, pusat kegiatan ekonomi dan lain-lain.

Demikian juga wakaf berperanan dalam membiayai kelengkapan peperangan seperti persenjataan, perisai dan perubatan. Walaupun tidak banyak periwayatan berkenaan sumbangan wakaf di zaman awal Islam, namun galakan dan kesedaran berwakaf telah mula menjalar dihati para sahabat ketika itu.

Empayar Uthmaniyah di Turki mencapai kegemilangan dengan bantuan amalan wakaf tunai yang meluas ketika itu sehingga berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan serta menjadi pelengkap kepada usaha-usaha pembangunan dalam penyediaan kemudahan-kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan seumpamanya kepada masyarakat Turki.

Sumbangan Wakaf Semasa

Amalan wakaf di Malaysia mula subur dan berkembang dengan penubuhan pondok-pondok pengajian agama secara tradisional yang mempengaruhi masyarakat setempat untuk mewakafkan harta mereka. Walaupun begitu dalam konteks zaman sekarang, amalan tersebut perlu diperluaskan terutama dalam mendirikan hospital wakaf yang memberi perkhidmatan percuma atau perkhidmatan yang rendah kosnya sebagaimana kita lihat persatuan-persatuan bukan Islam menubuhkan hospital dan pusat-pusat dialisis untuk pesakit buah pinggang.

Di samping itu, pembinaan rumah-rumah anak yatim juga amat diperlukan bagi membiayai dan mendidik mereka dengan teratur. Ia tidak terhad dalam bentuk pembinaan masjid semata-mata. Malahan dalam sejarah Islam terdapat rumah tumpangan yang didirikan secara wakaf di kota-kota besar Islam untuk para musafir seperti di Basrah, Baghdad, Damsyik dan Kaherah.

Institusi wakaf juga memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, Kolej Islam Klang ditubuhkan berasaskan harta wakaf, begitu juga di negeri Kedah dan Kelantan, madrasah dan pondok berkembang kerana adanya wakaf, demikian juga di Singapura, adanya sekolah al-Junid dan al-Saggof kerana wakaf.[10]

Di dalam pelaksanaan wakaf kontemporari, keutamaan di dalam pengurusan wakaf diambil kira dari segi keberkesanan, ketelusan, dan tahap profesionalisme pengurusan itu. Jika persoalan wakaf hanya dijuruskan pada suatu sumber yang terhad, maka potensi untuk memaksimakan dan memperkembangkan manfaat wakaf itu sendiri akan menjadi terhad. Kerana umum mengetahui bahawa untuk melaksanakan ibadah wakaf perlukan modal besar atau perlu ada sekurang-kurangnya sebidang tanah atau bangunan tertentu.

Sedangkan maksud dan matlamat wakaf menjangkaui kesemua itu. Maka tiada halangan syarak untuk membina konsep baru wakaf bagi tujuan kemudahan merangka sistem yang boleh dilaksanakan dalam ibadat wakaf secara lebih berkesan asalkan matlamat dan tujuan wakaf itu dapat dipenuhi sebagaimana asalnya, iaitu mengumpul dana dan sumber kukuh yang berterusan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial untuk kebajikan golongan terpinggir di dalam masyarakat atau lain-lain kebajikan yang dibenarkan syarak.

Seperti contoh yang telah dilaksanakan oleh Yayasan al-Bukhari yang telah menjalankan kerja-kerja kebajikan dengan melaksanakan projek pembinaan masjid, pusat pengajian, pusat rawatan secara percuma dan rumah jagaan orang-orang tua melalui konsep bina dan wakaf. Ianya terbukti berkesan dalam usaha mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada dana pemerintah sekaligus membantu menjimatkan wang pemerintah.

Pembangunan, pengembangan dan pelaburan harta wakaf juga boleh menggunakan instrumen kewangan yang diguna pakai dalam sistem kewangan Islam semasa seperti murabahah, ijarah, mudharabah dan sebagainya. Contohnya melalui kontrak dalam bentuk murabahah memerlukan nazir wakaf bertindak sebagai pengusaha yang mengurus proses-proses pelaburan, membeli peralatan-peralatan dan kelengkapan yang perlu melalui kontrak Murabahah, sementara bank Islam menyediakan sumber pembiayaan. Pengurus wakaf menjadi peminjam/pemiutang kepada institusi bank dan hutang ini akan dibayar melalui pembangunan harta wakaf.[11]

Wakaf Tunai[12]

Secara praktikalnya, wakaf tunai dilihat berpotensi untuk diperdanakan amalannya dikalangan umat Islam. Selain itu, wang tunai lebih mudah diuruskan berbanding harta tetap seperti tanah dan sebagainya. Bentuk fizikalnya yang mudah alih memungkinkan fungsinya dipelbagaikan. Selain boleh digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan, ia juga boleh dikembangkan lagi melalui instrumen-instrumen pelaburan yang diharuskan syarak. Pulangan daripada pelaburan tadi kemudiannya boleh digunakan untuk projek-projek berkepentingan umum.

Seperti mana yang telah dilaksanakan dengan jayanya di Bangladesh oleh Prof. M.A. Manan yang telah mengasaskan Social Investment Bank Ltd. (SIBL) di mana matlamat utamanya adalah untuk membantu golongan miskin dengan menggunakan pendekatan kemanusiaan terhadap kredit, tanpa riba dan pembahagian keuntungan dan kerugian berdasarkan kemanusiaan. SIBL juga telah memperkenalkan produk Sijil Wakaf Tunai yang pertama kali diperkenalkan dalam sejarah perbankan dengan mengumpulkan dana dari golongan kaya dan hasil keuntungannya akan disalurkan kepada rakyat yang miskin.[13]

Rangka kerja wakaf tunai ialah di mana seseorang menyumbangkan sebahagian dari wangnya dengan membeli sijil wakaf tunai melalui nazir wakaf. Sijil tersebut boleh dibeli di atas nama keluarganya atau seseorang walaupun telah meninggal dunia dengan tujuan tertentu seperti program bantuan kepada fakir miskin, kebajikan, pendidikan dan lain-lain. Nazir wakaf yang mengelola wakaf tunai tersebut kemudian melaburkannya ke dalam berbagai portfolio seperti bank syariah dalam atau luar negeri, perniagaan tertentu dan lain-lain aktiviti yang diperakui oleh syariah dan membawa keuntungan yang tinggi.

Menurut Dr. Murat Cizakca di dalam tulisannya yang bertajuk A History of Philantrophic Foundations: The Islamic World From The Seventh Century to The Present menyatakan bahawa semasa zaman pemerintahan Uthmaniyah di Turki dahulu, amalan wakaf tunai telah berjaya meringankan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, perbandaran dan sebagainya kepada masyarakat. Pada masa tersebut, sumbangan sukarela yang diterima daripada mereka yang bermurah hati disalurkan untuk membiayai pelbagai bentuk perancangan yang memberi manfaat kepada masyarakat umum.[14]

Saranan mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi, mengesyorkan supaya sebuah tabung wakaf dikenali sebagai Dana Musyarakah Universal (DMU) ditubuhkan bagi membantu negara-negara Islam menangani isu-isu kemiskinan dan pembangunan ekonomi umat Islam sedunia telah memperlihatkan kepentingan dana wakaf sebagai mekanisme unggul dalam memacu kestabilan ekonomi umat Islam. Ini kerana melalui DMU semua bank-bank pusat anggota OIC boleh menyumbang kepada DMU untuk digunakan oleh negara Islam. manakala sumber yang digembleng dalam DMU boleh dimanfaatkan untuk dilaburkan dalam instrumen pasaran kewangan Islam.

Bertitik tolak daripada itu, Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) ditubuhkan pada 14 Februari 2008 yang dirasmikan oleh mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Abdullah Md. Zin bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan suntikan dana sebanyak RM4.5 juta sebagai permulaan operasinya.[15]

Antara matlamat penubuhan YWM adalah adalah untuk menjana modal melalui kaedah-kaedah kontemporari dan inovatif bagi memaksimumkan manfaat wakaf selain membangun dan memajukan harta wakaf dan harta umat Islam bagi tujuan khairat dan amal jariah melalui pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial dan kebajikan.

Penubuhan YWM dilihat memberi nafas baru kepada institusi wakaf negara ini kerana ianya diharap dapat menangani kemelut isu wakaf yang menjadi sebuah cerita yang tak bernoktah di Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). YWM diharap dapat memainkan peranan positif dalam meletakkan institusi wakaf diperingkat perdana selain menjadi medium penyatuan diantara MAIN dan Kerajaan Pusat dalam menangani isu-isu berkaitan wakaf.

Potensi Wakaf Tunai

Dalam usaha memperkasa dan memperkembangkan institusi wakaf, para nazir tidak lagi boleh mengharap dan menunggu kepada pewakafan dalam bentuk tanah-tanah ladang, kebun buah-buahan dan sebagainya. Tetapi perlu merangka strategi baru sebagai altenatif yang boleh memberi ruang dan peluang kepada umat Islam melaksanakan ibadah berwakaf.

Wakaf tunai, dalam bentuknya dipandang sebagai salah satu alternatif yang dapat menjadikan wakaf menjadi lebih produktif. Kerana wang tunai di sini tidak lagi dijadikan sebagai alat tukar menukar sahaja, lebih dari itu, ia merupakan alat untuk menjana dan memperkembangkan manfaat wakaf ke tahap yang maksimum seterusnya membuka lebih luas ruang untuk umat Islam melaksanakan ibadah mal ini. Ini kerana tidak semua masyarakat mampu melaksanakan ibadah ini kerana melibatkan jumlah harta yang besar. Tetapi dengan wujudnya konsep ini, semua umat Islam mampu melakukannya. Pelaksanaannya membuka peluang yang luas kepada masyarakat Islam mengamalkan wakaf mengikut keupayaan masing-masing.

Dengan berbagai kemudahan yang ditawarkan dalam wakaf jenis ini, maka umat Islam akan lebih mudah memberikan sumbangan mereka untuk berwakaf tanpa perlu menunggu modal dalam jumlah yang besar. Mereka tidak perlu menunggu menjadi ‘tuan tanah’ untuk menjadi pewakaf. Selain itu, sikap dan semangat dermawan umat Islam yang sangat tinggi memungkinkan konsep wakaf tunai dapat direalisasikan perlaksanaannya.

Menurut sejarah, wakaf wang atau wakaf tunai telah diamalkan sejak abad ke-2 hijrah. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Imam al-Zuhri (wafat 124 hijrah) menganjurkan wakaf dinar atau dirham untuk pembangunan dakwah sosial dan pendidikan umat dengan cara menjadikan wang tersebut sebagai modal usaha dan menyalurkan keuntungan sebagai wakaf.[16]

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dalam Islam.

Demikian juga, fatwa yang dikeluarkan pada bulan Mei 2002 oleh Majlis Ulama Indonesia telah mengharuskan perlaksanaan wakaf tunai dengan syarat nilai pokok wakaf harus dijamin keberlangsungannya.[17] Seterusnya dana wakaf yang terkumpul dapat dilaburkan oleh nazir ke dalam pebagai sektor pembangunan yang produktif dan sah di sisi syarak. Misalnya membangun sebuah kawasan perdagangan yang mana sumbernya diperolehi daripada dana wakaf. Matlamat projek ini disasarkan kepada golongan miskin yang mempunyai potensi dalam bidang perniagaan dengan diberi peluang-peluang perniagaan di kawasan yang strategik dengan kadar sewa premis yang munasabah dan murah.

Read also  Restraint of trade: Woolworths Ltd v Olson

Kejayaan dan Keberkesanan Wakaf Tunai

Wang tunai merupakan alat pertukaran mudah alih yang digunapakai diseluruh dunia selain menjadi medium yang mendominasi kehidupan manusia. Perwakafan dalam bentuk wang tunai telah biasa diamalkan oleh negara-negara luar yang lebih terkehadapan dalam bidang pengurusan kehartaan. Misalnya di Jerman pada abad ke-14 M, wakaf dalam bentuk wang tunai (cash wakaf) telah diperkenalkan. Nilainya dapat dipertingkatkan dengan menambah jumlah tabungan di dalamnya dari semasa ke semasa.[18]

Telah terbukti bahawa banyak organisasi dan pertubuhan yang mampu bertahan dengan memanfaatkan sumber dari dana wakaf tunai. Sebagai contoh, Pusat-pusat pengajian Islam yang terdapat di Damsyik, Syria seperti Maahad al-Furqan[19], Maahad Fatah Islami, Maahad Tahdzib dan Maahad Aminiyyah yang menawarkan pengajian secara percuma.

Segala keperluan pengajian termasuk makan, minum dan tempat tinggal disediakan percuma. Selain itu juga, semua pelajarnya diberikan wang saku bulanan. Semua perbelanjaan dan pengurusan sekolah dibiayai sepenuhnya oleh sumber dana wakaf dan zakat yang disumbangkan oleh masyarakat dalam dan luar Syria tanpa menggunakan wang pemerintah! Demikian juga, Universiti al-Azhar di Mesir, Pondok Pesantren Modern Gontor di Indonesia, Islamic Relief [20] dan lain-lain yang kebanyakkan berkembang maju melalui sumber wakaf.

Islamic Relief misalnya, mampu mengumpulkan wakaf tunai setiap tahun tidak kurang dari 30 juta poundsterling dengan menerbitkan sijil wakaf tunai senilai 890 poundsterling setiap sijil. Dana wakaf tunai tersebut kemudian dikelola secara amanah dan profesional, yang kemudiannya disalurkan kepada lebih dari 5 juta orang yang berada di 25 negara. Bahkan di Bosnia, wakaf tunai yang disalurkan Islamic Relief mampu menyediakan peluang pekerjaan bagi lebih dari 7000 orang melalui program Income Generation Waqf.[21]

Di Singapura, Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) telah melaksanakan wakaf tunai yang berjaya mengumpul dana berjumlah SG$6 juta setahun melalui potongan gaji bulanan warga-warga Islam dengan jumlah sumbangan minima SG$2 hingga SG$11. Melalui dana yang terkumpul MUIS berjaya membiayai pembangunan serta penyelenggaraan tempat-tempat beribadah masyarakat Islam di Singapura.

Di Shah Alam Selangor, sebuah pertubuhan yang dikenali dengan nama PERSIDAM[22] telah membeli sebuah bangunan komersial tiga tingkat yang terletak di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor yang bernilai RM1.2 juta menggunakan sumber wakaf tunai dengan menggunapakai konsep member get member, di mana setiap seorang ahli akan mencari 10 orang pewakaf dan setiap 10 orang tersebut akan mencari lagi 10 orang lain dan seterusnya. Bangunan tersebut kini dijadikan pusat pengajian ilmu agama secara percuma untuk semua lapisan masyarakat. Manakala sebahagian daripadanya dijadikan premis sewa, di mana hasil sewaannya digunakan bagi menampung kos-kos penyelenggaraan dan bayaran saguhati untuk tenaga pengajar.

Di Sarawak, beberapa projek menggunapakai konsep wakaf tunai telah dijalankan dengan jayanya melalui kerjasama CITU UiTM Sarawak seperti:

  1. Projek Dana Wakaf Buku Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Samariang yang telah berjaya mengumpul sebanyak RM60,000.00 dalam masa 2 bulan untuk tujuan pembelian bahan bacaan dan rujukan untuk dimuatkan di dalam perpustakaan sekolah tersebut. Jumlah kutipan tersebut melepasi sasaran awal iaitu RM15000.00 semasa dilancarkan pelaksanaannya.
  2. Wakaf Tunai Masjid UiTM Sarawak menggunapakai sistem potongan gaji sukarela oleh kakitangan UiTM Sarawak. Hasil daripada sumbangan tersebut digunakan untuk menampung kos pembinaan masjid baru di UiTM Sarawak yang kini telah secara rasminya digunakan oleh warga UiTM.
  3. Projek Wakaf Pembinaan Pusat Kegiatan Dakwah di Kampung Serikin yang menelan belanja sebanyak RM50,000.00 yang kini sedang giat diusahakan pengumpulan dana oleh Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam (CITU) UiTM Sarawak dengan kerjasama Urusetia Saudara Kita (USK) yang bernaung di bawah HIKMAH Sarawak. Pusat tersebut akan berfungsi sebagai kelas pengajian agama dan surau apabila siap kelak.
  4. Pada 28 Februari 2008 Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dengan kerjasama Johor Corporation Berhad (JCorp) melalui anak syarikatnya KPJ Healthcare Berhad (KPJ) telah melancarkan Klinik Wakaf An-Nur bagi tujuan perubatan dan rawatan untuk orang ramai. Pelancaran tersebut telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM135,000.00 hasil sumbangan beberapa buah syarikat swasta dan individu perseorangan atas nama wakaf.

Johor Corporation Berhad (JCorp) adalah antara syarikat korporat pertama yang mengambil inisiatif mewakafkan saham-saham miliknya di dalam tiga buah anak syarikatnya yang tersenarai iaitu Kulim (Malaysia) Bhd., KPJ Healthcare Bhd. dan Johor Land Bhd dengan nilai aset bersih berjumlah RM200 juta di bawah kelolaan Kumpulan Waqaf Annur Bhd. Perolehan dividen daripada saham-saham ini akan diagih-agihkan untuk dilaburkan semula, diberikan kepada Majlis Agama Islam dan juga untuk kerja-kerja amal dan kebajikan umat Islam negara ini.[23]

Pendekatan wakaf tunai juga sudah mula diamalkan oleh beberapa buah Majlis Agama Islam Negeri dan juga syarikat swasta. Apa yang dilaksanakan oleh beberapa buah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN). Melalui konsep ini, MAIN akan bertindak sebagai pemegang amanah dan peserta perlu membeli saham-saham wakaf tadi dan kemudian mewakafkannya. Wang sumbangan jualan saham tadi akan dikumpulkan di bawah satu dana khas dan akan disalurkan kepada program-program berbentuk ekonomi, pendidikan, sosial dan am bergantung kepada pilihan yang dibuat oleh peserta tadi.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam usaha memperkembangkan potensi wakaf tunai, telah melancarkan saham wakaf Selangor dengan menawarkan peluang penyertaan kepada masyarakat Islam yang berminat dengan kadar minimum RM10 dan tiada had maksimum. Peserta boleh membeli seberapa banyak unit saham wakaf yang dikehendaki dengan diberi keistimewaan pengecualian cukai pendapatan daripada LHDN. Semenjak dilancarkan sehingga tahun 2008, sebanyak RM15, 556,117.53 telah berjaya dikumpul. Hasil daripada sumbangan ini telah digunakan oleh MAIS untuk tujuan pembangunan dan memartabatkan sosial dan sosio-ekonomi umat Islam di Negeri Selangor.

YADIM juga melalui konsep saham wakafnya telah menawarkan 14 juta saham wakaf iaitu harga keseluruhan Pusat Latihan YADIM di Semungkis, Hulu Langat. Saham Wakaf ini akan ditawarkan kepada orang ramai dengan harga RM1 sesaham. Pusat tersebut akan dijadikan pusat latihan pendakwah dan lain-lain kegunaan bagi tujuan dakwah Islamiah.[24]

Seterusnya YADIM juga merancang untuk membeli bangunan di pusat-pusat perniagaan strategik, menerusi skim saham wakaf. Dengan cara ini, masyarakat Islam akan memiliki bangunan perniagaan yang boleh disewa kepada peniaga-peniaga Islam dengan kadar sewaan yang rendah. Dengan itu, mereka boleh bersaing dengan peniaga-peniaga lain, bagi mengukuhkan penglibatan umat Islam dalam perniagaan.[25]

Walaupun secara amnya, skim saham wakaf ini juga merupakan satu bentuk wakaf tunai, tetapi ia dibataskan kepada projek-projek tertentu sahaja dan wang tadi tidak dikembangkan secara terus melalui instrumen-instrumen pelaburan moden sedia ada. Ini mungkin disebabkan kekurangan kepakaran mahupun kekurangan dari segi sumber dana yang terkumpul.

Bagaimanapun bagi syarikat-syarikat besar, masalah dana untuk diwakafkan tentu tidak menjadi satu halangan. Cumanya ia memerlukan kepada kesanggupan pemiliknya untuk menyumbang ke arah kebaikan sejagat.

Kesimpulan dan Cadangan

Keanjalan sistem wakaf membuka peluang kepada kita merangka dan menyusun strategi terbaik dalam usaha memperkasa dan membangunkan institusi agama Islam dan kebajikan di Malaysia. Dengan jumlah umat Islam yang ramai di seluruh dunia merupakan aset terbaik untuk penghimpunan dan pengembangan wakaf tunai. Jika wakaf tunai dapat diimplementasikan, maka ia akan mewujudkan potensi besar yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam.

Bayangkan jika setiap orang daripada 1 juta umat Islam mewakafkan wang berjumlah RM10.00 sebulan, maka dana wakaf yang terkumpul setiap tahun berjumlah RM 1.2 juta. Jika jumlah tersebut dilaburkan dengan pulangan dividen 10 peratus setahun, maka akan menghasilkan penambahan dana wakaf berjumlah RM 120,000.00 setahun. Jumlah yang besar ini mampu menampung kos pengurusan dan pembiayaan institusi-institusi agama dan kebajikan di negara kita untuk jangka masa yang berterusan dan ianya akan membantu menjimatkan perbelanjaan pemerintah.

Cadangan yang menarik dikemukan oleh Dr. Muhammad Anas Zarqa,[26] dana wakaf boleh dikumpulkan menerusi sumbangan yang dibuat oleh para dermawan menerusi anjuran pihak-pihak tertentu di dalam masyarakat. Seterusnya dana tersebut disalurkan kepada golongan miskin yang dilihat berpotensi serta mempunyai daya usaha melalui kaedah qardh al-hasan.

Kerangka pelaksanaannya melibatkan dua pihak, iaitu pihak pewakaf dan pihak penjamin. Para dermawan selaku pihak pewakaf akan menyumbang dana untuk dikumpulkan. Seterusnya bagi memastikan jumlah dana wakaf tadi tidak berkurangan atau mengalami penyusutan akibat risiko-risiko pinjaman seperti kegagalan peminjam membayar balik, maka pihak penjamin kerugian akan berperanan untuk menampung jumlah yang gagal dibayar balik tadi kepada pengurus wakaf.[27]

Oleh itu, Majlis Agama Islam Negeri dan Baitulmal boleh berperanan sebagai penjamin kepada pinjaman dana wakaf ini. Selain itu khidmat Takaful juga boleh digunapakai sebagai penjamin kerugian pinjaman seperti mana termaklum bahawa syarikat Takaful ada menawarkan produk yang bertujuan melindungi peminjam daripada kegagalan pembayaran balik hutang seperti yang diamalkan kini oleh Bank Rakyat.

Dengan terlaksananya konsep seperti ini, tanggungjawab Institusi Agama dan Kebajikan akan menjadi lebih ringan selain daripada dapat menjimatkan kos operasi yang meningkat saban tahun. Melalui pelaksanaan konsep di atas, bukan sahaja modal atau aset yang diwakafkan itu dapat dipertahankan, malah ianya akan membuka seluas-luas peluang kepada golongan miskin untuk keluar dari belenggu kemiskinan yang selama ini menghimpit kehidupan mereka seterusnya ia bakal melahirkan penderma dan pewakaf baru yang dapat menyumbang lebih banyak lagi harta-harta wakaf yang baru untuk masa akan datang.

Read also  Oil and its Effect on the Economies in the Middle East

Bagi merealisasikan tujuan murni ini, strategi dan perancangan rapi perlulah diatur agar matlamat yang disasarkan lebih jelas. Selain itu, pentadbiran dan pengurusan wakaf perlulah amanah, berilmu dan profesional dalam mewujudkan ruang-ruang baru bagi tujuan pengumpulan dan pengembangan harta wakaf. Kaedah pengumpulan dana wakaf menggunapakai konsep member get member seperti yang dilaksanakan oleh PERSIDAM dilihat suatu altenatif terbaik yang mirip kepada cadangan yang diusulkan oleh Dr. Muhammad Anas Zarqa dalam usaha memperkembangkan dana wakaf.

Sebagai langkah permulaan, kita boleh meniru konsep pelaksanaan dan pentadbiran wakaf yang digunapakai oleh negara-negara yang maju dan berjaya dengan amalan wakaf seperti Mesir dan Syria di mana mereka telah melakukan penggemblengan pengkomersialan sumber-sumber wakaf menerusi bidang perdagangan, pertanian dan perindustrian yang terbukti meningkatkan taraf hidup umat Islam seperti pendidikan dan sosio-ekonomi dan kesihatan ummah.

Berikut digariskan beberapa cadangan bagi merealisasikan wakaf sejajar dengan fungsinya sebagai mekanisme unggul yang berupaya menjana pendapatan bagi membiayai institusi keagamaan di negara kita:

  1. Menubuhkan unit pengumpulan dana wakaf yang bertanggungjawab membuat promosi dan penerangan mengenai kelebihan dan kebaikan berwakaf terutamanya dalam bentuk tunai. Seterusnya Mengadakan kerjasama dengan organisasi dan pertubuhan Islam seluruh negara dalam usaha mempromosi dan mengumpul dana wakaf.
  2. Kempen dan galakan membeli sijil wakaf melalui pembayaran bulanan atau potongan gaji secara sukarela oleh pewakaf.
  3. Menjalinkan kerjasama dengan pihak MAIN atau Kerajaan dalam usaha membangunkan projek-projek wakaf MAIN sebagai satu tanggungjawab sosial. Selain itu badan-badan korporat boleh bekerjasama dengan pihak MAIN memajukan projek-projek wakaf yang dicadangkan oleh MAIN dengan cara kerjasama menggunakan prinsip-prinsip muamalat Islam yang dibenarkan seperti mudharabah, musyarakah, ujrah, ijarah, wakalah dan sebagainya.[28]
  4. Menubuhkan jawatankuasa yang bertanggungjawab menjalankan tugas penaziran dan pentadbiran terhadap dana wakaf yang terkumpul. Para nazir yang dilantik mestilah terdiri daripada golongan profesional dan ahli dalam bidang yang dilantik. Ini bagi memastikan setiap sen yang diwakafkan mencapai matlamat dan maksudnya.

Selain itu, galakan dan sokongan moral daripada pemerintah amat diperlukan bagi memperluaskan konsep wakaf jenis ini. Pemerintah perlu lebih kreatif dan berinovasi dalam usaha mengembang dan memperdanakan konsep wakaf ini sebagai salah satu altenatif untuk mengimbangi tuntutan-tuntutan kewangan negara lebih-lebih lagi dalam keadaan krisis ekonomi global kini.

Apa yang penting, sokongan berterusan dan kesanggupan tidak berbelah bagi masyarakat Islam ditagih bagi merealisasikan usaha murni ini. Tanpa sokongan dan kerjasama umat Islam pelaksanaan dan wawasan menjadikan institusi wakaf sebagai sumber altenatif pemerintah dalam membiayai institusi agama Islam tidak akan tercapai dan telaksana biarpun peluang dan ruang dibuka luas oleh pemerintah.

Nota

  1. Abdul Halim Ramli dan Prof. Madya dan Kamarulzaman Sulaiman, Pembangunan Harta Wakaf: Pengalaman Negara-Negara Islam. Kertas Kerja dibentangkan di Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM, IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September 2006.
  2. al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf, Kamus Idris al-Marbawi, Pustaka Nasional, Singapura, 1995, hlm. 396.
  3. Al-Zuhaily, Wahbah, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh, hlm. 156
  4. Al-Hattab, Mawahib al-Jalil, j.7, hlm.631
  5. Ibn ‘Abidin, Radd al-Muhtar,j. 6, hlm.556
  6. Ibn Taimiah, Majmu’ al-Fatawa, j. 31, hlm.234
  7. Ibn `Abidin, 1966, opcit., h. 364.
  8. Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, Darul Fath li al-Ilam al-Arabi, 1999, hlm. 263
  9. Hadith riwayat Anas r.a katanya: “Ketika mana Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, Baginda mengarahkan supaya dibina sebuah masjid. Lalu Baginda bersabda: “Bayarkan untukku kebun-kebun kamu ini” Lalu mereka berkata: ” Demi Allah, kami tidak akan meminta harganya kecuali kepada Allah!” Lalu mereka membina masjid di atas tanah kebun itu.”
  10. Awang Othman, Dr. Mahmud Saedon, Peranan Wakaf di Dalam Pembangunan Ummah, dalam al-Ahkam, 1998, hlm. 174.
  11. Abdul Halim Ramli dan Prof. Madya dan Kamarulzaman Sulaiman, Pembangunan Harta Wakaf: Pengalaman Negara-Negara Islam. Kertas Kerja dibentangkan di Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM, IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September 2006.
  12. Juga disebut dana wakaf
  13. Dian Masyita, Muhammad Tasrif, Abdi Suryadinata Telaga. 2005. A Dynamic Model for Cash Waqf Management as One of The Alternative Instruments for The Poverty Alleviation in Indonesia. The 23th International Conference of The System Dynamics Society Massachussets Institute of Technology (MIT), Boston, July 17-21, 2005.
  14. Laman web IKIM. 2007. Wakaf Tunai : Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta Masa Kini, Muhammad Hisyam Mohamad. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
  15. Abdul Halim Sunny, Dana Wakaf Untuk Pendidikan: Satu tinjauan Awal, dalam Jurnal Pengurusan JAWHAR, Vol. 1, No. 2, 2007
  16. Ahmad Zaki Hj. Abdul latif dan Norhayati Hassan (Dr), Potensi Wakaf Dalam Menjana Kemajuan Umat Islam, dalam Islam Hadhari: Pengukuhan Institusi Baitumal dan Wakaf di Malaysia, Penerbitan UPENA, Shah Alam, 2005. Hlm. 101.
  17. Laman web. 2007. Menggali Sumber Dana Umat Melalui WakafUang, HM Cholil Nafis
    http://pmiikomfaksyahum.wordpress.com/2007/05/27/menggali-sumber-dana-umat-melalui-wakaf-uang/
  18. Cizakca, Murat (1998),Awqaf In History and Implications for Modern Islamic Economics, International Seminar on Awqaf and Economic Development, Pan Pacific Hotel, Kuala Lumpur, 2-4 March, h. 14.
  19. Penulis pernah menuntut di Maahad ini selama 5 tahun. 1994-1999
  20. Sebuah organisasi pengelola dan pentadbir dana wakaf tunai yang berpusat di England
  21. Mohd Syahiran Abdul Latif (2009), Mekanisme Wakaf: Tinjauan Awal Terhadap Pembangunan& Pembiayaan Pusat Penyelidikan & Perkembagan Islam Borneo, dalam buku Islam di Borneo, penerbitan UPENA 2009, h. 443
  22. Persatuan Sinar Damsyik Malaysia (PERSIDAM) merupakan sebuah pertubuhan bukan komersial yang menghimpunkan bekas-bekas pelajar Malaysia di Damsyik Syria. Penulis merupakan salah seorang daripada AJK persatuan tersebut.
  23. Laman web IKIM. 2007. Wakaf Tunai : Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta Masa Kini, Muhammad Hisyam Mohamad. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
  24. Nakhaie Ahmad (Datuk). 2004. Sistem Wakaf Kontemporari. Kolokium Pengurusan Aset dan Penyelesaian Harta Pusaka Muslim Mengikut Perundangan Malaysia, 24-25 Mei 2004, di Hotel Marriot, Putrajaya
  25. ibid
  26. Cadangan dikemukakan oleh beliau bertajuk Monetary Waqf for Micro Finance di dalam satu simposium anjuran Harvard Law School dalam bulan April 2007
  27. Muhammad Hisyam Bin Mohamad, 2008, Menzahirkan Faham Kemanusiaan Menerusi Pinjaman Kecil Tanpa Faedah Wakaf Tunai, Kuala Lumpur.
  28. Siti Mashitoh Mahamood (Dr.) et.al, Konsep Wakaf Sebagai Instrumen Pembangunan Hartanah di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), dalam Jurnal Pengurusan JAWHAR, Vol. 1, No. 2, 2007, h. 15

BIBLIOGRAFI

  • Al-Quran al-Karim
    Al-Marbawi, Muhammad Idris Abdul Rauf, Kamus Idris al-Marbawi, Pustaka Nasional,
    Singapura, 1995, hlm. 396.
  • al-Zuhaily, Wahbah. 1996. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh. Beirut: Dar al-Fikr, h. 156
  • Ibn Abidin, Muhammad Amin (1966), Hasyiyah Radd al-Muhtar ala al-Durr al-
    Mukhtar, juz. 4, Dar al-Fikr, h. 377
  • Sayyid Sabiq, Fiqh al-Sunnah, Darul Fath li al-Ilam al-Arabi, 1999, hlm. 263
  • Al-Hattab, Mawahib al-Jalil, j.7, h.631
  • al-Khatib, Muhammad Syarbini. 1958. Mughni al-Muhtaj. Misr: Mustafa al-Babi al-
    Halabi.
    Ibn Taymiah, Majmu’ al-Fatawa, j. 31, hlm.234
  • Awang Othman, Dr. Mahmud Saedon, Peranan Wakaf di Dalam Pembangunan Ummah,
    dalam al-Ahkam, 1998, hlm. 174.
  • Abdul Halim Sunny, Dana Wakaf Untuk Pendidikan: Satu tinjauan Awal, dalam Jurnal
    Pengurusan JAWHAR, Vol. 1, No. 2, 2007
  • Mahmud Saedon Awang Othman.1998. Peranan Wakaf di Dalam Pembangunan
    Ummah, dalam al-Ahkam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998.
    Jld. 6, hlm.175.
  • Muhammad Hisyam Bin Mohamad, 2008, Menzahirkan Faham Kemanusiaan Menerusi
    Pinjaman Kecil Tanpa Faedah Wakaf Tunai, Kuala Lumpur.
  • Siti Mashitoh Mahamood (Dr.) et.al, Konsep Wakaf Sebagai Instrumen Pembangunan
    Hartanah di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), dalam Jurnal Pengurusan
    JAWHAR, Vol. 1, No. 2, 2007, h. 15
  • Ahmad Zaki Hj. Abdul latif dan Norhayati Hassan (Dr), Potensi Wakaf Dalam Menjana
    Kemajuan Umat Islam, dalam Islam Hadhari: Pengukuhan Institusi Baitumal dan
    Wakaf di Malaysia, Penerbitan UPENA, Shah Alam, 2005, h. 101.
  • Mohd Syahiran Abdul Latif (2009), Mekanisme Wakaf: Tinjauan Awal Terhadap
    Pembangunan& Pembiayaan Pusat Penyelidikan & Perkembagan Islam Borneo,
    dalam buku Islam di Borneo, penerbitan UPENA 2009, h. 443
  • Abdul Halim Ramli dan Prof. Madya dan Kamarulzaman Sulaiman, 2006. Pembangunan
    Harta Wakaf: Pengalaman Negara-Negara Islam. Kertas Kerja dibentangkan di
    Konvensyen Wakaf Kebangsaan 2006 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji,
    Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama UiTM Johor, UTM, UM, UIAM, YPEIM,
    IKIM, JAKIM dan YADIM, The Legend Hotel, Kuala Lumpur, 12-14 September
  • Dian Masyita, Muhammad Tasrif, Abdi Suryadinata Telaga. 2005. A Dynamic Model for
    Cash Waqf Management as One of The Alternative Instruments for The Poverty
    Alleviation in Indonesia. The 23th International Conference of The System Dynamics
    Society Massachussets Institute of Technology (MIT), Boston, July 17-21, 2005.
  • Cizakca, Murat (1998), Awqaf In History and Implications for Modern Islami Economics,
    International Seminar on Awqaf and Economic Development, Pan Pacific Hotel,
    Kuala Lumpur, 2-4 March, h. 14.
  • Nakhaie Ahmad (Datuk). 2004. Sistem Wakaf Kontemporari. Kolokium Pengurusan Aset dan Penyelesaian Harta Pusaka Muslim Mengikut Perundangan Malaysia, 24-25 Mei 2004, di Hotel Marriot, Putrajaya
    Laman web IKIM. 2007. Wakaf Tunai : Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta Masa Kini, Muhammad Hisyam Mohamad. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
  • Laman web. 2007. Menggali Sumber Dana Umat Melalui WakafUang, HM Cholil Nafis
    http://pmiikomfaksyahum.wordpress.com/2007/05/27/menggali-sumber-dana-umat-
    melalui-wakaf-uang/
  • Laman web IKIM. 2007. Wakaf Tunai : Pendekatan Terbaik Untuk Mewakafkan Harta
    Masa Kini, Muhammad Hisyam Mohamad. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?
Order Now

Order Now

Type of Paper
Subject
Deadline
Number of Pages
(275 words)